Showing posts with label Kehamilan. Show all posts
Showing posts with label Kehamilan. Show all posts

Saturday, March 20, 2010

Dah Nak Masuk 37 Minggu ....
























Pagi tadi aku ngan cik abe pi buat check up. Skang ni dah nak masuk 37 minggu dah. Tekanan darah OK, kandungan gula pon OK... Al-hamdulillah.

Aku check kat Pusat Pakar Perubatan Normah. Dekat je ngan umah aku. O&G aku Dr. Azizah ... since aku pegnen si kakak (Aisyah) memang dengan Dr. Azizah ni. She's very friendly.

Tapi kandungan air ketuban just ngam-ngam je kata doktor. So, next week kene check lagi. Harap-harap jangan le berkurangan. *saspen*. Kepala baby dah turun ke bawah, tapi lom 100% engage lagi. Dr. estimate maybe hujung minggu ni dah fully engage.

Kawan-kawan, doakan aku mudah & selamat bersalin ye. :)



Saturday, January 16, 2010

Hamil Luar Rahim Ancam Nyawa

Kandungan luar rahim atau istilah perubatannya kehamilan ektopik merupakan satu proses patologi yang amat jarang berlaku. Ia terjadi apabila fetus membesar di luar kawasan rahim atau uterus.

Kandungan seumpama ini merupakan ancaman kepada nyawa si ibu kerana ia berisiko menyebabkan pendarahan yang banyak serta koyakan tisu.

Kes seperti ini berlaku apabila telur yang subur dantelah bersenyawa tidak tertanam di dalam rahim. Sebaliknya dalam kebanyakan kes kandungan di luar rahim, telur tersebut tertanam di dalam tiub fallopio atau ovari. Kadangkala terdapat juga keadaan di mana telur tersebut melekat dalam ruang abdomen.

Kehamilan jenis ini merupakan keadaan perbidanan yang serius dan memerlukan rawatan perubatan segera. Jika telur yang akan berkembang menjadi embrio tertanam di luar kawasan uterus, maka secara logiknya ia tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk membesar.

Bukan itu sahaja, embrio tersebut juga tidak mendapat khasiat yang mencukupi untuk tumbesaran serta pembangunannya. Tiub fallopio terlalu sempit untuk fetus yang membesar dengan pesat, jadi besar kemungkinan boleh terjadi kerosakan serta koyakan pada tisu di kawasan tersebut. Bila itu terjadi maka pendarahan akan berlaku dan mengancam nyawa wanita tersebut.

Penyebab kandungan luar rahim

Wanita yang pernah mengambil rawatan kesuburan dan stimulasi proses ovulasi mempunyai risiko lebih tinggi untuk terjadinya kandungan luar rahim. Sejarah pernah menghidapi penyakit radang pelvis juga meningkatkan risiko kandungan luar rahim kerana kesan penyakit tersebut menyempitkan saluran fallopio.

Keadaan itu menyebabkan telur yang subur terhalang untuk menerusi saluran fallopio dan terus ke uterus. Apa saja pembedahan yang pernah berlaku di kawasan fallopio meningkatkan risiko kandungan luar rahim. Endometriosis juga adalah salah satu punca risiko kandungan luar rahim.

Simptom kandungan luar rahim

Sebenarnya susah untuk tentukan kandungan berada di luar rahim terutama ketika usia kandungan masih awal.

Rasa sakit yang dialami oleh wanita seperti dicucuk pada bahagian abdomen atau pelvis, merupakan tanda pertama kandungan luar rahim. Simptom lain ialah tekanan luar rahim, rasa loya, mual atau pitam.

Pendarahan pada vagina juga merupakan simptom biasa kandungan luar rahim. Jika anda mengalami satu atau lebih simptom seperti yang dinyatakan, anda patut segera menghubungi doktor kerana kemungkinan boleh berlaku pendarahan dalaman.

Koyakan pada tiub fallopio biasanya diikuti dengan simptom pendarahan, kesakitan yang ketara dan parut pada formasi tisu. Keadaan ini boleh menjejaskan kesihatan reproduktif wanita dan mendatangkan komplikasi jika ingin hamil pada masa hadapan.

Diagnosis kandungan luar rahim

Kandungan luar rahim biasanya didiagnosis pada minggu kelapan hingga 10 kandungan. Pada hari pertama kejadian uri akan terhasil hormon yang menyekat ovari dari menghasilkan telur seterusnya, sekali gus menghalang proses untuk mengandung kali kedua.

Biasanya kandungan luar rahim akan dapat dikesan menerusi sejenis hormon yang dipanggil krionik dan progesteron yang terkandung dalam darah. Jika berlaku kandungan di luar rahim biasanya hormon krionik dalam darah akan menurun.

Ujian ultrasonografi di bahagian pelvis akan memberitahu kedudukan sebenar fetus dan tentukan sama ada kandungan berlaku di luar rahim.

Ujian laparoskopi juga membantu untuk menentukan lokasi kandungan sebenar. Jika kandungan ektopik tidak berakhir dengan keguguran, doktor akan memberikan ubat untuk mengeluarkan uri. Ubat tersebut hanya akan diberikan pada kandungan luar rahim yang telah dikesan di peringkat awal. Manakala pembedahan pula akan dilakukan sekiranya kandungan sudah agak lama.

Sumber : Utusan Malaysia

Wednesday, January 6, 2010

25 Minggu 2 Hari



Hari Sabtu lepas aku pi monthly checkup. Tapi baru ari ni ada masa nak tepek dalam blog ni ha. Al-maklum, bz promote kedai ... hehehhe.

Al-hamdulillah, setakat ni kehamilan aku berjalan lancar. Tekanan darah aku normal, kandungan gula dalam darah pon ok. Berat pon ada naik, biasa la kan ..... adat orang pegnen memang sepatutnya pon naik setiap kali checkup. Tapi harap-harap jangan le naik banyak sangat .... payah nak kuruskan balik nanti, ngeh ngeh ngeh. ;D


Kengkawan, doakan la aku ye. Semoga kehamilan aku berjalan lancar dan proses bersalin aku nanti pon dipermudahkan Allah swt, amin.

Saturday, November 14, 2009

Memudahkan Proses Bersalin

Kesakitan dan keletihan adalah satu fenomena biasa yang dialami oleh setiap bakal-bakal ibu dalam proses melahirkan bayi ke dunia ini. Walaupun itu dikatakan nikmat sebenarnya bersalin, namun ada sesetengah wanita yang tidak dapat menahan kesakitan atau menghadapi masalah semasa proses bersalin lalu memilih untuk menggunakan teknologi yang boleh mengurangkan dan melegakan azab yang dihadapi.

Seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dalam dunia perubatan, ada bakal ibu memilih untuk bersalin secara pembedahan atau menikmati kecanggihan ubat-ubatan dengan fungsi untuk mengurangkan sakit bersalin.
Sebab itu bakal ibu zaman ini sudah terlalu biasa dengan istilah-istilah seperti caesarean, induce, epidural, vasektomy, etonox,episiotomi, opiate, bersalin di dalam air dan pelbagai lagi teknik rawatan bagi membantu memudahkan proses bersalin.

Sebelum menentukan pilihan kaedah melegakan kesakitan ketika bersalin bakal ibu perlu berbincang dengan doktor untuk mengenalpasti yang mana paling sesuai untuk dirinya.
Ini kerana, setiap kaedah mempunyai kebaikan dan keburukan dan harus mempertimbangkan semuanya serta membuat keputusan sendiri kerana segalanya akan memberi kesan kepada diri bakal ibu juga nanti.

Antara kaedah memudahkan proses bersalin:


Suntikan opiate

Sejenis suntikan ubat pelali yang diberikan pada otot di kawasan punggung. Penyedutan

entonox

Campuran oksigen dan nitrus oksida yang disedut dengan menggunakan topeng muka ketika kontraksi.


Suntikan epidural
Jarum yang berongga dicucuk antara dua ruas tulang belakang ke dalam ruang epidural dan satu tiub plastik dimasukkan melalui jarum tersebut. Ubat bius dimasukkan melalui tiub itu sepanjang masa bersalin.


Episiotomi
Apabila kepala bayi telah kelihatan, ada risiko perineum (kawasan antara vulva dan rektum) akan koyak. Jika doktor merasa risiko berlakunya koyakan agak tinggi, episiotomi mungkin diperlukan. Ini merupakan potongan yang dibuat pada perineum, setelah diberi bius setempat, untuk mengelakkan kerosakan teruk akibat koyakan yang tidak terkawal.
Doktor akan membaiki kawasan tersebut dengan beberapa jahitan selepas kelahiran bayi anda, tanpa mengira sama ada ia terjadi akibat terkoyak ataupun episiotomi. Lazimnya dengan kelahiran kedua dan seterusnya, episiotomi sudah tidak diperlukan lagi.

Pembedahan caesarean

Doktor mungkin menasihatkan anda untuk menjalani pembedahan caesarean dalam keadaan-keadaan tertentu, sama ada secara pilihan atau kecemasan semasa dalam bilik bersalin kerana sebab berikut:

  • bayi berkedudukan songsang
  • proses bersalin yang terlalu lama tanpa sebarang kemajuan
  • kadar degupan jantung bayi semakin menurun ketika bersalin
  • saluran kelahiran terlalu sempit
  • masalah kesihatan ibu, seperti tekanan darah tinggi.
Sumber : Utusan Malaysia

Wednesday, October 7, 2009

Pedih Ulu Hati Ketika Hamil

Sakit atau rasa tidak selesa adalah lumrah yang harus dialami oleh semua wanita hamil. Alahan, sakit belakang, sembelit, pening kepala dan sebagainya merupakan antara simptom yang tidak boleh dielakkan.

“Sebutkan saja penyakitnya, ibu hamil pasti akan merasainya,” kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar. Meski pun begitu, kata beliau yang juga pemilik Pusat Perubatan Primanora, kehamilan adalah salah satu tempoh yang cukup menggembirakan buat semua wanita dan mereka akan melupakan semua kesakitan tersebut sejurus melihat wajah comel lahir ke dunia.

Menurutnya, semua ketidakselesaan yang dialami adalah disebabkan perubaha dari segi fizikal, hormon dan emosi. Salah satu ketidakselesaan yang banyak dialami oleh wanita hamil adalah masalah pedih ulu hati yang disebabkan peningkatan paras hormon estrogen dan progesteron.

Perubahan hormon ini juga menyebabkan mood berubah terutama ketika trimester pertama dan terakhir. Sebanyak 10 peratus wanita mengandung terdedah kepada kemurungan kehamilan. Simptom termasuk sukar memberi tumpuan dan tidur, letih melampau, cepat marah dan kerisauan. Dalam keadaan ini, wanita hamil memerlukan sokongan daripada suami dan keluarga serta perlu sentiasa positif.

Apakah pedih ulu hati?

Menurut Dr. Nor Ashikin, sehingga 75 peratus wanita hamil mengalami pedih ulu hati. “Ia berlaku apabila kandungan dalam perut ditolak kembali ke esofagus (saluran makanan) menyebabkan ia dalam keadaan terapung (reflux), lalu mengganggu lapisan lembut dalam saluran tersebut,” jelasnya.

Bagi wanita hamil, peningkatan hormon kehamilan menyebabkan otot sfinkter esofagus bawah (LES) mengendur antara esofagus dan perut. Tekanan di dalam abdomen yang meningkat sejajar dengan perkembangan bayi menyebabkan kandungan perut mudah ditolak semula ke esofagus.

Mereka yang mengalami pedih ulu hati akan berasa pedih pada bahagian atas dada, perut tidak selesa, sukar menelan, kandungan makanan ditolak kembali, rasa pahit atau asid dalam mulut. “Pedih ulu hati yang kronik boleh mengganggu tidur dan menjejaskan selera makan,” ujar Dr. Nor Ashikin.

Bagaimana merawat pedih ulu hati:

1. Antasid.
Ia bertindak meneutralkan asid perut, namun jika diambil dalam kuantiti berlebihan boleh menyebabkan sembelit (elakkan penyediaan yang mengandungi sodium atau aluminium). Rawatannya pantas tetapi dalam bentuk jangka pendek.

2. Penghalang H2, penyekat pam proton (pengurang asid)
Ia menyerap ke dalam saliran darah untuk mengurangkan penghasilan asid dalam perut. Tetapi kaedah ini tidak disyorkan ketika mengandung.

3. Alginates
Dihasilkan daripada rumpai laut coklat iaitu laminaria hyperborea. Ia tidak diserap dalam saluran darah dan disahkan secara klinikal memberi kelegaan untuk pedih ulu hati ketika mengandung. Contoh ubatan yang mengandungi alginates adalah Gaviscon.

Alginate menghasilkan satu penghalang kuat yang seakan terapung apabila ia bertemu asid perut. Kandungan apungan di bahagian atas menghalang asid daripada bertemu dengan esofagus.

Apa yang perlu dilakukan bagi mengelakkan pedih ulu hati?

1. Ambil hidangan dalam jumlah yang kecil tetapi kerap.

2. Kunyah dengan perlahan setiap kali makan. Jangan tergopoh-gapah.

3. Elakkan makanan mengandungi rempah, pedas, menggunakan banyak perasa, berlemak, coklat, alkohol, kafein dan berpudina.

4. Pakai pakaian yang longgar di sekitar perut.

5. Duduk dengan selesa. Jangan lakukan pergerakan seperti melipat badan yang menyebabkan bahagian perut diasak.

6. Jangan membongkok ketika mengambil barang.

7. Lakukan senaman ringan seperti berjalan kaki secara sederhana.

8. Elakkan berbaring atau tidur dalam masa dua jam selepas makan.

9. Jangan merokok.

10. Biarkan minuman panas sejuk sebentar sebelum diminum.

11. Tangani stres dengan tenang.

12. Cuba kawal pertambahan berat badan. Dapatkan berat badan seperti yang disyorkan.

Ibu sejahtera, bayi sihat.

Ibu-ibu hamil perlu menjaga kesihatan diri dan lebih proaktif dalam memahami perkara yang berkaitan dengan kehamilan mereka. “Jaga pengambilan nutrien anda, pengambilan vitamin dan suplemen ketika hamil amat penting iaitu asid folik, multivitamin dan kalsium.

“Dengan menjaga kesihatan diri, anda juga menjaga kesihatan bayi dari mula konsepsi hingga ia dilahirkan. Ini adalah permulaan terbaik yang boleh diberi oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka,” kata Dr. Nor Ashikin lagi.

Sumber : Serikasih.blogspot.com

Saturday, October 3, 2009

12 Minggu 4 Hari

Ari Khamis tu ari pi cek pregnancy. Al-hamdulillah .. semuanya ok. Baby pon sihat, dah setat gerak-gerak tapi lom rasa lagi. Kengkawan, doakan saye selamat bersalin ye. *smile*

Sunday, September 6, 2009

Loya Dan Muntah Semasa Mengandung

Loya dan muntah adalah pengalaman yang biasa untuk mereka yang mengandung terutamanya mengandung untuk kali pertama. Lazimnya, ia berlaku sebaik sahaja puan mendapati ujian mengandung air kencing menjadi positif dan mungkin akan reda pada minggu ke-20.

Walaupun kejadian loya serta muntah ini tidaklah teruk tetapi sekiranya berterusan boleh memudaratkan. Sebagai wanita yang mengandung, puan sebaiknya berbincang dengan doktor untuk mendapat perawatan sewajarnya supaya proses mengandung dapat menjadi pengalaman yang indah.

Penyebab rasa loya

Puan perlu berbangga apabila mengandung sebab puan sekarang dalam pencapaian tertinggi fisiologi seseorang wanita. Sebagai seorang ibu mengandung, puan menjadi individu yang teristimewa dan lain dari sebelumnya. Mengandung juga bukanlah satu bentuk penyakit!

Apabila puan mengandung, banyak perubahan berlaku pada diri seperti peningkatan hormon wanita estrogen dan progesteron yang juga berperanan dalam masalah loya serta muntah-muntah.

Bagi kebanyakan ibu-ibu mengandung, loya-loya serta muntah-muntah ini tidaklah memudaratkan dan tidak mengganggu kehidupan sosial. Bagaimanapun, sekiranya permasalahan ini keterlaluan, loya dan muntah ini akan dilabelkan sebagai Hyperemesis Gravidarum.

Muntah dan loya yang keterlaluan akan menyebabkan berlakunya penurunan berat badan, kurangnya cecair badan dan mungkin juga fungsi hati terganggu serta membawa masalah kepada kehidupan seharian.

Kesan kepada ibu dan kandungan

Biasanya loya-loya serta muntah yang biasa tidaklah memudaratkan puan serta janin. Masalah akan berlaku hanya sekiranya puan mengalami Hyperemesis Gravidarum. Segeralah berjumpa dengan doktor untuk menerima bantuan sokongan serta perawatan yang sewajarnya.

Sehingga sekarang tidak ada cara untuk mengelakkan puan daripada mengalami loya-loya serta muntah, dan mungkin keterlaluan sekiranya dikatakan hanya dengan tidak mengandung boleh membantu.

Ada kajian yang mendapati multivitamin tertentu boleh membantu mengurangkan kesengsaraan ibu yang sedang mengandung. Di HUSM, puan akan dinasihatkan supaya menyediakan buku nota kecil dan mencatatkan apa sahaja yang mencetuskan rasa loya serta muntah ini, kemudian digalakkan sekiranya berupaya mengelakkan pencetus tersebut.

Puan juga dinasihatkan supaya:

1. Cuba mengambil biskut-biskut tawar sebaik sahaja bila bangun dari tidur.

2. Mengelakkan makanan berlemak dan juga makanan yang berempah ratus.

3. Hidangan makanan juga diperbanyakkan dari tiga hidangan besar sehari menjadi lima atau enam hidangan sehari.

4. Elakkan bau-bauan yang mencetuskan loya-loya serta muntah puan.

5. Berehat secukupnya.

Ada juga mereka yang menerima rawatan alternatif seperti memakan halia, rawatan akupuntur P6, hipnosis dan sebagainya.

Mendapatkan rawatan doktor

Puan perlu perhatikan perkara-perkara berikut, dan sekiranya berlaku, segeralah berjumpa dengan doktor:

1. Puan memuntahkan darah.

2. Puan tidak boleh langsung minum atau makan tanpa mencetuskan loya-loya serta muntah yang teruk.

3. Jumlah air kencing puan menjadi sedikit dan warnanya bertambah gelap.

4. Apabila puan berdiri, puan rasa pening dan berkemungkinan rebah pengsan.

5. Degupan jantung puan dapat dirasai dan juga puan berdebar-debar.

Sekiranya ini berlaku, puan akan dinasihatkan supaya dimasukkan ke wad untuk rawatan selanjutnya. Air kencing puan akan diuji untuk kehadiran bahan kimia 'keton', darah diambil untuk ujian-ujian kimia dan juga fungsi-fungsi organ seperti hati.

Air gula dan juga air bergaram akan dimasukkan melalui sistem pembuluh vena. Vitamin seperti B6, doxylamine dan juga ubat-ubat anti loya dan muntah akan diberikan sebagai rawatan tambahan. Jangan runsing, loya-loya dan muntah-muntah akan reda dengan peningkatan minggu kandungan, dan mungkin menjadi normal pada minggu ke 20.

Sumber: Berita Harian & serikasih.blogspot.com

Thursday, August 27, 2009

Kajian Bukti Puasa Tak Jejas Perkembangan Bayi Dalam Kandungan

KAJIAN kesihatan mendapati ibu mengandung yang berpuasa tidak menjejaskan kandungan walaupun kadangkala tidak selesa terutama pada tahap tiga bulan pertama kandungan.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar Ampang Putri, Dr Ariza Mohamed, berkata ibu hamil masih boleh berpuasa kerana ia tidak memberi kesan kepada perkembangan bayi.
“Ibu mengandung boleh berpuasa, membaca al-Quran terus menerus dan doa untuk kesihatan bayi dalam kandungan,” katanya yang tidak menafikan cabaran ibu mengandung terutama loya, muntah, pening dan gastrik pada tiga bulan pertama menyebabkan badan kekurangan air hingga ada terpaksa menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata demikian pada seminar Penghayatan Ramadan anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Hospital Pakar An Nur dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia di Bangi, baru-baru ini.


Dr Ariza berkata, proses dehidrasi menjadikan ibu lemah, berat berkurangan tetapi biasanya keadaan itu tidak menjejaskan bayi. Begitu juga bagi ibu pada peringkat tiga bulan terakhir terpaksa berhadapan dengan keletihan, sukar untuk fokus, tidak dapat tidur dengan baik dan berat badan mungkin statik atau berkurang.
“Dalam keadaan itu bayi tidak terjejas kerana mereka mendapat cukup makanan daripada ibu.

Jika mampu ibu mengandung boleh berpuasa tetapi boleh berbuka apabila mengalami muntah yang teruk. Cuma dari segi menggantikan puasa, ada perbezaan pendapat,” katanya.
Beliau berkata, risiko ibu yang menyusukan anak apabila berpuasa ialah kurang susu dan menyebabkan anak menangis. Sedangkan susu ibu adalah makanan lengkap bayi dan WHO menyarankan enam bulan pertama eksklusif susu ibu tanpa dicampur susu formula. “Bagi ibu menyusukan anak, dibolehkan berbuka puasa seperti ibu mengandung.

Cuma bagi yang mengandung, ada berpendapat tidak perlu berpuasa tanpa berusaha sedangkan Ramadan memberi banyak manfaat,” katanya sambil menasihatkan wanita hamil melewatkan sahur, makan tamar serta susu ketika sahur dan makanan tinggi serat, berehat tengah hari dan memastikan berbuka dengan makanan yang memberi tenaga segera.


Sementara itu, Pakar Perunding Perubatan Hospital Pakar An Nur, Dr Norshinah Kamarudin meminta penghidap kencing manis bersahur, jangan melewatkan berbuka dan tidak makan berlebihan. Pesakit boleh mengubah dos ubat. Jika dos biasa diambil waktu pagi boleh ditukar kepada berbuka sementara dos diambil sebelum makan malam ditukar kepada waktu bersahur.

“Pengubahsuaian dos insulin perlu dilakukan dengan bimbingan doktor selain melakukan ujian tahap gula dalam darah pada waktu tertentu seperti sebelum bersahur, tiga hingga empat jam kemudian atau sebelum berbuka dan tiga hingga empat jam selepas itu. “Minum cukup air, menggantikan air selepas buang air dan elak minuman manis,” katanya.

Oleh Hasliza Hassan
Sumber: Berita Harian


Friday, August 21, 2009

Anugerah Di Bulan Ramadhan

Sejak 2-3 minggu ni aku rasa tak sedap badan. Cepat rasa penat, selera pon tak brape. Tekak asik loya je manjang. Pahtu smalam pi la beli pregnancy test kat farmasi. Lepas subuh pagi tadi pi la check. Subhanallah, terkejutnye aku ...... POSITIF. Al-hamdulillah, ya Allah.

Then lepas bekpes aku ngan cik abe pi la cek kat klinik. Bila dr scan, dia estimate dah 5 minggu. Insya-Allah due April tahun depan. Ya Allah tak terucap rasanya kesyukuran ku padaMu.

Al-hamdulillah, doaku selama ini akhirnya dimakbulkan. Inilah hadiah Ramadhan yang paling bermakna buatku, ya Allah .....

Buat kengkawan, doakan la kesihatan aku dan kandunganku dalam keadaan sihat selalu hingga aku bersalin ya, Insya-Allah ...

Thursday, August 6, 2009

Doa Nabi Zakaria (Doa Minta Dikurniakan Zuriat)

Doa ini adalah doa yang diamalkan oleh Nabi Allah Zakaria a.s. Oleh kerana, Nabi Zakaria a.s tidak dikurniakan anak selama berpuluh-puluh tahun. Maka Nabi Zakaria a.s. telah merayu dan berdoa pada Allah swt sepeti ayat dibawah ini. Dengan berkat rintihan doa Nabi Zakaria a.s, maka isteri baginda mengandung. Amalkan membaca doa ini selepas solat, Insya-Allah.


"Ya Tuhanku, janganlah engkau membiarkan aku hidup seorang diri, dan Engkaulah waris yang paling baik. (Al-anbiya':89)


P/S: Doa ini juga dikatakan sesuai diamalkan bagi mereka yang susah untuk mendapat jodoh.

Sumber: http://pakarhowto.com

Tuesday, July 7, 2009

Elak Dehidrasi Ketika Hamil

Seperti yang kita semua ketahui, air adalah satu elemen penting bagi manusia tidak kira usia dan jantina. Bagaimanapun, ada kalanya ramai yang terlupa dan alpa akan kepentingan air terhadap tubuh badan mereka terutama sekali bagi kaum wanita. Air memberikan anda tenaga, lebih-lebih lagi kepada wanita yang hamil.

Apabila anda hamil, perkara pertama yang akan diberitahu oleh doktor anda adalah banyakkan meminum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu oleh kerana alahan (morning sickness), anda boleh minum air kosong yang dicampur dengan jus, sirap dan sebagainya. Namun, yang seeloknya minum air kosong yang ditapis. Persoalannya di sini mengapa air amat dititikberatkan terutama sekali bagi ibu mengandung?

Air adalah satu keperluan yang penting untuk tubuh badan. Tidak kira anda hamil atau tidak. Kita boleh hidup berminggu-minggu tanpa makanan tetapi hanya beberapa hari tanpa air. Tubuh badan kita secara semula jadi memerlukan air untuk hidup kerana sekiranya tanpa air, ia akan mengganggu fungsi sistem pengendalian dalam badan kita sekali gus membuatkan kita menjadi dehidrasi terutama untuk wanita mengandung. Ini kerana ketika mengandung, ibu hamil kerap membuang air kecil disebabkan oleh tekanan yang diberikan kepada pundi kencing oleh bayi yang dikandung mereka.

Disebabkan itulah wanita yang mengandung perlu kerap minum air kosong sekurang-kurangnya dua setengah liter sehari supaya tubuh badan mereka tidak akan dehidrasi dan cukup untuk menampung kehilangan air dari badan yang berlaku dalam pelbagai cara selain daripada kerap membuang air seperti berpeluh. Wanita mengandung kerap berasa panas dan berpeluh, disebabkan itu jugalah mereka perlu menggantikan kandungan air yang keluar dari tubuh badan mereka dengan meminum lebih banyak air kosong.

Air adalah komponen utama dari tubuh. Setiap orang memiliki 70 peratus air dari berat tubuhnya. Semua sistem di dalam tubuh bergantung kepada air. Sebagai contoh, air akan membuang racun dari organ vital, membawa nutrisi ke sel tubuh dan menghasilkan kelembapan bagi telinga dan juga hidung kita. Bagi wanita yang mengandung, mereka perlu menjaga kesihatan tubuh badan mereka agar tidak dijangkiti penyakit kerana ia boleh memudaratkan bayi di dalam kandungan. Oleh kerana itulah, mereka digalakkan untuk minum air dalam kuantiti yang disarankan bagi menghindari daripada dijangkiti penyakit seperti demam atau selesema.

Tahukah anda bagi mereka yang mempunyai masalah ‘morning sickness’, dengan hanya meminum ‘air hidup’ atau ’air bersih’ yang mencukupi, masalah ini dapat dihindari atau sekiranya berlaku ia lebih ringan dan lebih cepat pulih. Sebenarnya petanda seperti loya, muntah, pening dan lain-lain ini disebabkan oleh dehidrasi ditambah pula dengan perubahan hormon sewaktu hamil.

Mengidam makanan yang masam, masin atau yang pelik adalah petanda yang datang daripada bayi di dalam kandungan yang mungkin menagih kepada beberapa jenis mineral, garam atau mungkin juga dehidrasi. Jadi kalau amalan minum lima botol (500 ml) sehari diselangi dengan meletak sedikit garam di atas lidah untuk setiap botol, ia akan membantu masalah ini. Ia seperti magik kerana tidak lagi menghadapi masalah ‘morning sickness’ dan mengidam kalau mereka mengikut saranan ini dengan yakin dan istiqamah.

Selain itu, wanita yang hamil kerap mengalami penyakit sembelit dan kerana itu air amat penting buat mereka. Air adalah pelarut asas bagi segala hasil keluaran penghadaman dan ia membantu untuk melawaskan bahan buangan di dalam tubuh badan kita.

Dan yang terakhir sekali adalah bagi wanita yang menyusui bayi mereka memerlukan cairan supaya tidak dehidrasi. Ini kerana sejumlah cairan dalam badan akan hilang kerana apabila mereka mengeluarkan susu. Oleh itu, segala cairan ini perlu digantikan dengan meminum sejumlah air yang banyak.

Seperti yang disebut diatas, wanita mengandung perlu mengambil kuantiti air yang banyak bagi mengelakkan dehidrasi kerana ia boleh membawa kepada pelbagai penyakit lain. Contoh seperti lelah, sakit kepala, mulut kering, lemah otot dan sebagainya. Disebabkan itulah wanita mengandung wajib mengambil air kosong sekurang-kurangnya dua liter sehari. Air kosong yang diambil pula, seeloknya datang daripada air yang ditapis atau air yang tidak tercemar bagi mengelakkan dijangkiti sebarang penyakit yang tidak diingini.

Oleh: Dr Noordin Darus
Sumber: Berita Harian

Friday, June 5, 2009

Peribadi Bakal Ibu

BERGELAR seorang ibu merupakan saat paling ditunggu-tunggu dalam fasa hidup seorang wanita. Tempoh sembilan bulan berbadan dua, merupakan satu pengalaman baru kepada wanita terutamanya yang pertama kali melalui detik itu.

Sifat seorang wanita biasanya memiliki pola dan refleksi diri yang membantu mengawal emosi diri. Mengenali siapa diri anda dan memahami langkah menghadapi kesulitan akan membantu diri anda mengurangkan tekanan emosi lantas berjaya menyelesaikan masalah dengan baik.
Umumnya, pakar psikologi mengkelaskan lima jenis keperibadian calon ibu. Ia turut diperjelaskan menerusi laman sesawang www.femalefirst.co.uk.

Cepat cemas

Bakal ibu seperti ini mudah cemas apabila ingin mendapatkan sesuatu informasi. Mereka tidak pernah putus asa dalam mencari pelbagai informasi tentang kehamilan dan kelahiran.
Mereka sentiasa inginkan nasihat daripada teman, ahli keluarga dan banyak membaca majalah serta buku-buku kehamilan. Meskipun hal ini baik untuk memperkaya pengetahuan si ibu, namun akhirnya akan membuat diri mereka keliru dengan pelbagai informasi.
Jadi pilihan bahan bacaan yang betul, sahih dan tepat untuk mengelakkan anda keliru.

Kompetitif

Seorang ibu yang kompetitif selalunya ingin menjadikan dirinya yang terbaik dan pertama daripada orang lain. Apatah lagi jika dia adalah insan pertama yang hamil di kalangan rakan-rakan. Jangan terlalu mendesak diri untuk menjadi terbaik. Ia akan membuat anda tertekan. Ingatkan suami atau teman rapat jika anda terlalu obses dengan kehamilan.

Profesional

Ibu jenis ini sangat teratur dan rasional. Ibu yang profesional tidak akan berkompromi mengenai sesuatu perkara yang berkaitan dengan bayinya. Apa yang pasti, anda mahu memilih hospital yang menempatkan pelbagai kemudahan canggih dan dikeliling para jururawat.

Natural

Ibu jenis ini sememangnya berharap untuk memberikan segala hal yang natural untuk bayinya. Sebagai seorang ibu yang bersikap natural, anda akan menguasai diri dengan segala hal yang organik, menikmati hidangan makanan yang ringkas dan bernutrisi. Malah, mereka memilih ubat-ubatan alternatif dan berasa lebih tenang jika si bayi berada di rumah sendiri. Jika anda berada dalam kumpulan ibu jenis ini, anda harus mengimbangi keperluan bayi dengan situasi. Anda perlu tahu, dapatkah anda menangani tumbesaran si kecil dengan bantuan alam sepenuhnya?

Tidak mudah khuatir

Ibu jenis ini sentiasa menghabis rutin hariannya dengan aktiviti santai. Anda merasakan bahawa ibu, kakak perempuan, teman dan wanita lain di dunia begitu gembira saat menghadapi kehamilan dan kelahiran tanpa berdepan dengan sebarang kesakitan. Bagaimanapun, hati-hatilah kerana kemungkinan anda terlalu mengambil mudah termasuklah aktiviti yang boleh memberi risiko kepada kandungan anda.

Sumber : Harian Kosmo
Blog Widget by LinkWithin

Jantung Hatiku .....

Lilypie - Personal pictureLilypie

Lilypie - Personal pictureLilypie Fifth Birthday tickers

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers