Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Wednesday, October 14, 2009

Kenapa Ada Lingkaran Hitam Di Bawah Mata Anda

Cuba tengok muka anda jap kat depan cermin. Perhatikan ada ke tak lingkaran hitam (eye bag) kat bawah mata macam gambo cik kak kat sebelah tu ?

Kalau anda masih muda remaja, mungkin takder lagi kot. Tapi kalau anda dah tak brape nak remaja lagi, berkemungkinan besar memang ada. Hehe...


Sedar atau tak, kebanyakan individu tak pentingkan hal ni langsung. Tapi bagi yang sering mementingkan penampilan diri, masalah lingkaran hitam ni sikit sebanyak merisaukan anda. Betul tak?


Melalui apa yang saya baca, terdapat beberapa sebab yang menyebabkan kemunculan lingkaran hitam bawah mata nie. Antaranya ialah;


1. Selari dengan umur anda yang semakin meningkat.

2. Anda ada alahan.
3. Ciri-ciri kulit wajah anda sendiri.
4. Mengalami keletihan setelah bekerja seharian.
5. Kekurangan nutrisi pada tubuh anda.

6. Faktor genetik.

7. Pengaliran darah yang tak stabil.

8. Anda menghadapi tekanan dan tak dapat mengawalnya dengan baik.

9. Terdedah kepada cahaya matahari. (Bukan matahari waktu pagi yer.)

10. Penurunan berat badan yang agak mendadak.
11. Ada masalah pinggang dan juga perut.

12. Tisu lemak dan cecair.
13. Masalah sinus.

14. Anda memang ada masalah kesihatan.

15. Anda seorang perokok.


Sumber : petuasejagat.blogspot

Monday, September 14, 2009

Buah Keramat

BULAN kesembilan dalam kalendar Islam memang dinantikan umat Islam di seluruh dunia. Ramadan atau bulan penuh keberkatan mewajibkan umat Islam menyempurnakan rukun Islam kedua iaitu berpuasa.

Sepanjang bulan ini, kurma boleh dilihat di mana-mana kerana menjadi sunnah memakan terlebih dahulu buah itu apabila berbuka puasa. Kurma adalah sejenis tumbuhan palma atau bahasa saintifiknya, Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau mentah.

Kurma yang menjadi makanan utama masyarakat di Timur Tengah memang memiliki pelbagai khasiat dari sudut kesihatan. Tidak hairanlah, ia banyak disebut dalam al-Quran, malah menjadi makanan ruji Nabi Muhammad s.a.w.

Kurma mengandungi kandungan zat besi dan potasium yang tinggi selain pelbagai vitamin lain. Ia amat sesuai diambil pesakit anemia, masalah penghadaman seperti sembelit dan kelesuan badan. Sebagai buah yang kaya dengan karbohidrat, kurma memberikan sumber tenaga, membantu meningkatkan tenaga dan sesuai dijadikan sebagai snek harian.

Malah Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Sesiapa yang memakan tujuh biji tamar Ajwah, dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu.” (HR Imam Bukhari).

Menjadikan pemakanan kurma sebagai amalan sejak dulu lagi, Pengerusi dan pemilik Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, Datuk Yusuf Taiyoob, berkata amalan memakan kurma memang baik untuk kesihatan. Beliau berkata, kurma mampu membekalkan tenaga walaupun diambil dalam jumlah yang sedikit, malah mampu menahan kelaparan untuk seharian.

Bagi yang ingin menjaga kesihatan, kurma mengurangkan berat badan. “Kurma mempunyai banyak khasiat yang membantu memperkuat daya tahan tubuh, meningkatkan stamina, menggalakkan pertumbuhan tulang pada kanak-kanak, melancarkan sistem penghadaman serta dapat melindungi badan daripada pengumpulan kolesterol.

“Ia memiliki kadar potasium dua kali ganda lebih tinggi daripada sebiji pisang dan membantu mencegah pelbagai penyakit seperti sakit kerongkong, demam, cirit-birit, sakit perut dan menjaga penglihatan. Justeru, kurma sesuai dijadikan makanan harian khususnya pada waktu pagi (ketika bersahur) sebelum memulakan tugas harian,” katanya.

Sementara itu, kajian Pensyarah Fakulti Sains dan Bioteknologi Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Aisyah Mohd Zain, mendapati jus kurma membantu mencegah sembelit, lemah otot, sengal badan, lesu dan barah usus besar selain merangsang selera makan serta menguatkan ingatan.

Mengikut hasil kajian ahli sains Mesir, khasiat kurma terbukti dalam membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda serta membantu tumbesaran kanak-kanak.

Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah, merawat buah pinggang dan mencuci hati serta membantu mengurangkan pengaliran darah ketika melahirkan anak.

Antara khasiat kurma

# Kurma adalah buah daripada tumbuhan palma yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan B serta niasin.

# Dari segi saintifik, kurma dapat membantu mengubati gangguan usus kronik dan mengatasi sembelit.

# Kurma boleh dijadikan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk membantu mengatasi masalah insomnia dan mengurangkan batuk.

# Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium yang sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin.

# Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma, sekali gus menggalakkan pertambahan kandungan susu.

# Kurma turut berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak iaitu membantu pembentukan darah dan sum sum tulang.

# Antara kajian lain dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga.

# Khasiat kurma dapat membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan serta mencergaskan minda kanak-kanak.

# Jus kurma dapat membantu mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta meredakan tekanan darah tinggi.

# Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran.

# Kurma membantu merendahkan risiko serangan angin ahmar.

# Kandungan karbohidratnya yang tinggi membolehkannya membekalkan banyak tenaga.

# Kurma mengandungi zat gizi penting bagi fungsi tubuh iaitu kalium khusus untuk kebaikan jantung dan pembuluh darah.

# Galian dalam kurma berfungsi untuk membetulkan denyutan jantung, mengaktifkan pengecutan otot dan mengatur tekanan darah.

# Gula yang terkandung dalam kurma mudah diserap dalam tubuh tanpa perlu melalui proses yang panjang. Justeru, kurma dianggap sebagai buah paling ideal untuk hidangan berbuka puasa atau sahur.

Info

# Untuk memastikan mutu kurma kekal segar dan tahan lama, ia hendaklah sentiasa disimpan di dalam peti sejuk dan bukannya di dalam suhu bilik.

# Buah kurma bertangkai adalah kurma yang paling baik dari segi kualiti dan biasanya, harganya juga mahal berbanding kurma biasa.

# Selain kurma asli, kurma kering juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan cara penyimpanannya lebih mudah.

Oleh : Fairul Asmaini Mohd Pilus
Sumber: Harian Metro


Sunday, August 16, 2009

Berhenti Aniaya Perut

RAKYAT Malaysia gemar makanan mengandungi lemak tinggi dan kurang makan sayur dan buah-buahan. Mereka juga tiada disiplin dalam waktu makan dan sering terlebih makan. “Apa yang dimakan bukan bahagian yang sewajarnya dimakan, terutama apabila makan di tempat yang menyediakan menu Barat.

“Sebagai contoh, ikan dan kentang goreng, hidangan ayam (chicken chop) atau kambing biri-biri (lamb chop). Bahagian yang dihidangkan lebih untuk seorang dan terlalu banyak mentega dan krim digunakan. Kita tidak sedar kita sebenarnya terlalu menganiayai perut. Tahukah anda, perut kita mempunyai sistem dan ia bekerja mengikut aturan masa tertentu.

“Perut manusia hanya boleh menerima sejumlah makanan pada satu-satu masa dan anda akan lebih membantu jika mengunyah makanan dengan sebaik-baiknya,” kata Pengurus Kanan, Dietetik dan Perkhidmatan Makanan, Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw-John.

Menurutnya, selepas makanan melepasi esofagus (saluran makanan dari mulut ke perut), ia melalui proses pencernaan di dalam perut dan ini mengambil masa sedikit. Perut, tambahnya, bertindak sebagai ‘pengisar’ nombor dua. Dari perut, ia melalui usus kecil dalam jumlah sedikit-sedikit.

“Jangan makan dengan lahap. Jika terlampau membebani perut anda, ia bukan saja mengembang tetapi anda memberinya lebih kerja dan menjadikannya bertambah letih. Lebih buruk jika anda terus-terusan makan sebelum perut selesai dengan proses pencernaan pertama. Jika ada yang mengambil sarapan pagi pada jam 8, waktu makan berikutnya ialah sekitar 12.30 tengah hari untuk membolehkan proses pencernaan selesai.

“Cuba fikir apa akan berlaku jika perut anda mogok? Bagaimana makanan akan diserapkan? Lebih teruk lagi jika anda menderita ulser perut, kolitis (radang kolon yang kronik) atau penyakit pencernaan yang lain. Apa akan terjadi pada perut anda?“ soal Easaw-John.

Tahu Apa Yang Anda Makan

Kita juga perlu tahu makanan yang diambil sebagai snek (di antara waktu makan
); sama ada ia menyebabkan kalori berlebihan daripada disyorkan. Sebagai contoh, jika jumlah kalori harian disyorkan adalah 1,800 kcal, jumlah kalori bagi tiga makanan utama (sarapan, tengah hari dan malam serta snek) mestilah bersamaan 1,800 kcal.

Jika snek diambil menyumbang kepada pertambahan kalori, misalnya daripada 1,800 kepada 2,200 kcal, ini bermakna ia disimpan sebagai lemak yang menyebabkan berat badan bertambah.
Untuk mengelaknya kita perlu ubah tabiat makan, contohnya jika gemar nasi lemak untuk sarapan, beli bungkusan kecil (nasi lemak biasa) mengandungi 200 kalori saja.

Sepinggan nasi lemak dengan pelbagai lauk tambahan boleh mencapai antara 800 hingga 1,000 kalori. Begitu juga mi atau nasi goreng, beli bungkusan kecil tanpa ditambah lauk. Gula dan gula tersembunyi Beliau juga mengingatkan supaya berhati-hati dengan pengambilan gula jika mahu kekal sihat. Secara umumnya kita memerlukan enam hingga tujuh sudu teh gula sehari, termasuk gula tersembunyi.

“Gula ialah karbohidrat ringkas berbanding kanji yang dikenali sebagai karbohidrat kompleks. Apabila diserap, gula disimpan dalam tubuh sebagai lemak. Pengambilan gula semata-mata tidak menyebabkan kencing manis kerana banyak faktor lain menyumbang kepada penyakit ini.

“Lebih dibimbangkan ialah gula tersembunyi yang ada dalam hampir semua makanan seperti roti, kek, biskut manis, jeli, jem, gula-gula dan kaya. Jem mengandungi 60 peratus gula dan kaya pula 50 peratus. “Sepotong kecil kuih mempunyai separuh sudu teh gula, sepotong kek bersaiz sederhana dengan gula ising mempunyai satu hingga dua sudu teh gula, manakala setin minuman berkarbonat pula antara lapan hingga sembilan sudu teh gula. Jika anda minum setin minuman berkarbonat, bererti anda menggunakan sepenuhnya kuota gula anda untuk hari berkenaan.

“Daripada segi kalori, setiap satu teh madu mengandungi 21 kalori, gula perang (16 kalori), gula pasir (15 kalori) dan jem (16 kalori). Lemak menyumbang kalori paling tinggi; satu gram lemak memberi sembilan kalori berbanding satu gram karbohidrat atau protin yang mengandungi empat kalori saja,” katanya.

Pada masa sama, kita perlu memeriksa label makanan untuk kandungan gula dan lemak bagi makanan diproses. Jika label menyebut bebas kalori, ini bermakna makanan itu mengandungi kurang daripada lima kalori satu hidangan. Kalau dilabel tertera bebas gula, lazimnya kandungan gulanya kurang daripada 0.5 gram bagi setiap hidangan.


“Perkataan ‘gula dikurangkan atau kurang gula’ bermakna makanan berkenaan mengandungi kurang 25 peratus gula bagi satu hidangan berbanding biasa. Jika label ditulis tiada tambahan gula, ini bermakna tiada gula ditambah ketika pemprosesan tetapi mungkin ada ramuan yang mengandungi gula asli, sebagai contoh buah-buahan kering,” katanya.

Bagi pengguna yang memilih menggunakan pemanis, ia 180 hingga 200 kali lebih manis berbanding gula biasa tetapi rendah kandungan kalori.


Keselamatan Makanan
Tabiat pemakanan buruk di kalangan rakyat Malaysia disumbangkan banyak faktor seperti mengapa dan cara orang makan, jenis makanan, dengan siapa mereka makan serta cara orang mendapat, menyimpan, menggunakan dan membuang makanan. Selain itu faktor individu, sosial, budaya, agama, ekonomi, alam sekitar dan politik mempengaruhi tabiat makan seseorang.


“Di Malaysia, di mana-mana saja ada tempat makan, termasuk di bawah pokok, tepi longkang atau tepi jalan. Malah, ada yang dibuka 24 jam dan tiada halangan untuk seseorang makan berterusan. Selain itu, beri perhatian kepada makanan yang disaji secara bersepah seperti di pasar malam. Pastikan anda beli daripada gerai bersih.

“Malangnya, masyarakat kita tidak menitik beratkan soal kebersihan apabila memilih tempat makan. Jika sedap, gerai di tepi longkang pun akan penuh,” katanya. Bagaimanapun, senario di Singapura berbeza dan patut dicontohi kerana mereka ada Program Makanan Jajaan Lebih Sihat yang bertujuan mempelbagaikan pilihan makanan sihat kepada pengguna. Malah, gerai yang memaparkan ramuan lebih sihat diberi logo piramid berwarna merah.

Setiap kedai makan yang bersih mendapat sijil daripada Lembaga Promosi Kesihatan Singapura, menandakan pengendali kedai itu mengamalkan persediaan makanan yang sihat. Malah, restoran juga dibuat pemeriksaan audit.
Untuk keselamatan, makanan perlu disediakan di tempat sesuai dan ada bekalan air sempurna. Bahan mentah seperti daging, ikan dan sayur perlu dikendali dengan betul bagi mengelak penyakit akibat bakteria Escherichia coli (E coli), Salmonella, Camphylobacter dan Listeria. Bakteria ini boleh menyebabkan gejala seperti cirit-birit, demam, kejang perut, loya dan muntah-muntah.

Makanan yang dimasak juga ada had luput.
Contohnya sebelum membeli nasi ayam, tanyakan fikirkan soalan ini: Di mana ayam yang sudah dimasak disimpan? Adakah ia di dalam dapur yang panas atau di belakang gerai? Adakah gerai itu berhampiran tandas? Makanan yang dimasak tidak seharusnya dibiar terdedah lama kerana kebanyakan makanan tidak selamat dimakan selepas ada empat jam pada suhu bilik.

“Mengikut standard keselamatan antarabangsa, makanan perlu dilupus selepas empat jam disediakan. Hidangkan makanan secepat mungkin selepas dimasak dan jika ada baki, makanan itu mesti disimpan dalam bekas tertutup di dalam peti sejuk.
Di sesetengah gerai menjual nasi campur, makanan dibiarkan terdedah sehingga berjam-jam lamanya. Jika dibiarkan makanan dalam suhu bilik, bakteria di dalam makanan itu membiak dengan cepat,” katanya.

Easaw-John berkata, mereka yang mengendali dan menghidangkan makanan perlu memahami tiga peraturan asas pengendalian makanan untuk mencegah penyakit iaitu makanan sejuk dan segar perlu disimpan di tempat sejuk dan makanan panas dalam keadaan panas di dalam bekas bersih.
Selain itu, perhatikan penampilan pengendali makanan dan pekerja gerai kerana sesetengahnya memakai apron kotor dan berkuku panjang. Jika pakaian atau apron kotor serta berkuku panjang, usah makan di gerai berkenaan. Lihat juga jika mereka menggunakan kain sama untuk mengelap meja dan pinggan.

Beliau turut mengingatkan supaya berhati-hati terhadap penggunaan bahan pengawet yang berlebihan di samping bahan perasa, minyak dan sos yang murah oleh sesetengah penjaja makanan. Semua bahan itu ialah “sahabat baik untuk pencetus kanser.


"Lebih selamat jika anda memasak makanan sendiri, meskipun hanya nasi putih, sayur goreng dan telur goreng. Ambil lebih banyak sayur dan buah-buahan. Kandungan seratnya membantu membersihkan perut.
“Kalau pun anda makan di luar dengan keluarga atau kawan, pilih tempat bersih dan berkongsilah makanan. Bukan saja dapat mengurangkan makanan yang anda makan, tetapi ia lebih menjimatkan,” katanya berseloroh. — Bernama

Sumber:
Harian Metro

Sunday, August 2, 2009

Derita Alami Fibromyalgia

Fibromyalgia juga boleh menyebabkan seseorang menghadapi tekanan.

PERNAHKAH anda berasa serba tidak kena, lesu dan sakit hampir di seluruh badan? Anehnya, biarpun sudah memakan ubat, ternyata rasa sakit itu tidak juga hilang. Penyakit yang tidak diketahui puncanya ini turut mengakibatkan kelesuan, pening selain sakit otot

Jika ya, anda berkemungkinan mengalami masalah yang sememangnya amat jarang didengar iaitu 'fibromyalgia.' Masalah kesihatan yang turut dikenali fibrositis ini, merujuk kepada keadaan kronik yang menyebabkan rasa sakit, tegang dan bengkak pada bahagian otot, tendon dan sendi.
Bukan setakat sakit sendiri, ada kalanya fibromyalgia turut menyebabkan penghidapnya sukar dan kurang tidur, letih, risau, tertekan selain masalah gangguan sistem pencernaan.

Anehnya, di sebalik kesan yang disebabkan fibromyalgia, punca penyakit ini masih misteri kerana tidak diketahui setakat ini. Pakar Ortopedik dan Trauma, Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor, Datuk Dr Syed Abdul Latiff Al Sagoff, berkata fibromyalgia ialah masalah biasa yang menjejaskan otot.

"Ia bagaimanapun boleh disifatkan sebagai masalah kronik dan selalunya menjadikan seseorang lesu. Ia menyebabkan kesakitan 'unik' atau tertentu yang kerap dialami," katanya. Beliau berkata, fibromyalgia boleh menjejaskan keupayaan bekerja dan aktiviti harian, selain berpotensi menyebabkan tekanan kepada penghidapnya.

"Ia memang masalah kesihatan yang mengganggu tetapi kerap kali tidak difahami kerana ia boleh disifatkan sebagai penyakit yang 'tersembunyi' atau tidak kelihatan. Seseorang itu tidak kelihatan sakit dan susah untuk orang lain memahami keadaannya," katanya.

Katanya, sakit yang dikaitkan dengan fibromyalgia selalunya bermula dari otot. Ia boleh dianggap sebagai melarat jika rasa sakit itu berlaku pada dua-dua bahagian tubuh sama ada di bawah atau atas paras pinggang. "Fibromyalgia ialah masalah yang biasa berlaku di otot. Tisu yang sakit biasanya tidak disertai dengan masalah radang, justeru ia tidak merosakkan tubuh atau organ dalaman.

"Ia berbeza dengan masalah seperti Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus, serta rheumatoid arthritis. Bagi kebanyakan penyakit itu, radang pada tisu adalah penyebab utama rasa sakit, kekejangan sendi, tendon dan otot yang boleh menjejaskan otot dan organ dalaman.

Malah, kata Dr Syed Abdul Latiff, simptom fibromyalgia juga berbeza bagi setiap penghidapnya. Secara umum, masalah itu menyebabkan rasa sakit tetapi tidak disebabkan masalah radang pada tisu. Kesakitannya merebak, membabitkan kedua-dua bahagian badan yang menjejaskan leher, punggung, bahu, lengan, bahagian atas badan dan dada.

Kesakitan pula selalunya bertumpu pada kawasan lembut yang membolehkan rasa sakit itu ketara apabila disentuh. Ini lazimnya berlaku pada bahagian siku, bahu, lutut, pinggul, belakang kepala serta bahagian tepi tulang dada.

Di Amerika Syarikat misalnya, kira-kira dua peratus penduduknya mengalami masalah fibromyalgia. Perempuan lebih mudah mengalaminya berbanding lelaki dengan risiko meningkat seiring usia. Kerap kali, ia bermula dengan trauma fizikal dan emosi.

"Walaupun puncanya tidak diketahui, bagi kebanyakan kes, ia lebih kerap berlaku pada wanita berusia 35 hingga 55 tahun. Ada kalanya ia berlaku sendiri dan ada kalanya ia berkaitan dengan penyakit lain," katanya.

Ada juga pesakit berasa keletihan yang keterlaluan dan masalah itu dialami 90 peratus pesakitnya. Keletihan itu pula dikaitkan dengan pola tidur yang luar biasa. Selalunya pesakit tidak mendapat kualiti tidur yang cukup. Mereka kerap terjaga daripada tidur tanpa rasa rehat yang mencukupi. Tidak kurang juga yang terjaga daripada tidur kerana sakit otot.

Selain itu, ada juga pesakit fibromyalgia ini mengalami gangguan emosi yang boleh dilihat menerusi masalah seperti kurang tumpuan, mudah lupa, 'mood' yang berubah-ubah, tertekan dan risau. Oleh kerana usaha mengenal pasti atau diagnosis masalah ini agak sukar, selalunya pengesahan dilakukan menerusi ujian makmal.


Satu lagi simptom yang biasa dialami pesakit ialah masalah migrain dan rasa kebas di beberapa bahagian badan. Malah ada yang mengalami gangguan pada sistem pencernaan. Disebabkan simptom yang pelbagai itulah, setiap pesakit fibromyalgia dianggap unik.

Dr Syed Abdul Latiff berkata, disebabkan punca fibromyalgia tidak diketahui, tiada satu rawatan khusus untuk membantu melegakan simptom berkenaan. Oleh itu, perbincangan dengan doktor membantu memastikan rawatan terbaik.

Secara umum, pesakit biasanya mengambil pil atau ubat antiradang bukan steroid seperti aspirin selain ubat melegakan otot. Selain itu, senaman terapi seperti pilates juga membantu. Di pasaran, syarikat farmaseutikal Pfizer baru-baru ini melancarkan jenama Lyrica yang dihasilkan bagi melegakan fibromyalgia.


Info Fibromyalgia

# Masalah kesihatan kronik menyebabkan rasa sakit, tegang dan bengkak di bahagian otot, tendon dan sendi.

# Puncanya tidak diketahui dan ada kalanya berkaitan dengan penyakit lain.

# Simptomnya berbeza bagi setiap penghidapnya. Secara umum, masalah itu boleh dilihat dengan rasa sakit tetapi tidak disebabkan masalah radang pada tisu.

# Kesakitannya melarat dengan membabitkan kedua-dua bahagian badan yang menjejaskan leher, punggung, bahu, lengan, bahagian atas badan dan dada.

# Perempuan lebih mudah mengalaminya berbanding lelaki dengan risiko meningkat seiring usia. Kerap kalinya, ia bermula dengan trauma fizikal dan emosi. Kebanyakannya membabitkan wanita berusia 35 hingga 55 tahun.

Oleh: Hafizah Iszahanid
Sumber: Berita Harian

Thursday, July 16, 2009

Keajaiban Khasiat Kismis

Apabila ditanya apakah snek makanan ringan untuk kanak-kanak, jawapan yang biasa diterima adalah makanan seperti keropok, ais krim, gula-gula, lolipop, kerepek ubi kentang dan jeruk. Walaupun sedar pelbagai kesan sampingan yang negatif terkandung dalam makanan ringan tersebut terutama penggunaan monosodium glutamate (MSG), gula dan pengawet yang tinggi, masih ramai ibu bapa tetap mengamalkan diet makanan ini. Apa kata mulai hari ini, anda cuba ubah persepsi terhadap snek makanan iaitu menggantikannya dengan bahan makanan yang lebih berkhasiat.

Kismis adalah salah satu alternatif bahan makanan yang wajar dijadikan snek makanan kepada anak-anak. Justeru, anda perlu mengubah persepsi
bahawa kismis hanya bahan makanan yang dimakan sewaktu menjelang peperiksaan, majlis keramaian tertentu atau dimasukkan ke dalam roti atau kek.

Menurut Pakar Pembangunan Kanak-Kanak di sebuah hospital tempatan, Ruth Liew, ramai yang semakin lupa bahawa, kismis mempunyai kandungan gula daripada buah yang asli. Ia mampu memberi tenaga yang konsisten kepada kanak-kanak
. "Memang gula-gula mampu memberi tenaga yang lebih, tetapi ia akan menyebabkan kanak-kanak menjadi hiper dan menjadi lemah apabila kandungan gula itu mula merosot. Berlainan dengan kismis, kanak-kanak akan dapat tenaga yang seimbang dan menyihatkan badan. Ia juga makanan ringan yang lebih baik daripada gula-gula. Gula-gula boleh meninggalkan kesan kerosakan pada gigi kanak-kanak dan tenaga yang diperoleh juga tidak sekata," jelas Ruth lagi.

Katanya, kanak-kanak masa kini tidak lagi gemar dengan makanan yang terlalu pelbagai, sebaliknya mereka lebih gemar makanan yang lebih santai. Oleh kerana itu, ibu bapa perlu menjadikan kismis sebagai snek makanan ringan untuk anak-anak yang masih bersekolah. Tambah Ruth, untuk menjadikan kismis sebagai snek ringan kepada anak-anak, ibu bapa perlu memainkan peranan. Bagi kanak-kanak atau golongan remaja yang sudah biasa atau gemar menikmati kismis begitu sahaja, ia bukan satu masalah lagi kepada ibu bapa. "Bila mereka tengok TV, jangan bagi mereka kuaci atau keropok sebaliknya beri mereka kismis. Bekalkan juga kismis ketika ke sekolah," katanya.

Namun, jika ada yang tidak gemar menikmati kismis dalam bentuk mentah, ia boleh dicampur dalam pelbagai hidangan lain dengan cara mempelbagaikan makanan yang dicampur dengan kismis dalam hidangan waktu pagi, petang dan malam. "Mereka mungkin tidak akan memilih kismis, tetapi ibu bapa perlu tahu khasiatnya. Terus beri galakan kepada anak-anak dengan mempelbagaikan masakan. Anda boleh campur kismis ke dalam bubur, sup, atau sayur-sayuran yang biasa dimakan anak-anak," kata Ruth yang mengakui ia juga boleh diamalkan dalam diet orang dewasa.

Pelbagaikan penggunaan kismis dalam menu anak-anak

Ruth yang menerima reaksi daripada ibu bapa yang memberi kismis kepada anak-anak juga memberitahu, hasil yang diperoleh amat positif. "Ada ibu bapa mula mempelbagaikan cara pemakanan dan ada juga yang memberi kismis seperti memakan vitamin setiap hari. Malah, ada juga anak-anak yang gembira dengan amalan makanan anggur kering itu," jelas Ruth yang turut mengamalkan memakan kismis sejak kecil lagi.

Dalam Islam, kismis sudah lama disaran untuk pemakanan kanak-kanak kerana ia adalah makanan tambahan yang mampu merangsang minda dalam melahirkan generasi genius.
Menyedari kebaikan kismis dan kemampuannya menjadi snek dalam makanan kanak-kanak, masyarakat Barat turut mula mengambilnya dalam diet mereka.

Penelitian Christine D.Wu dari Universiti Illinois, Chicago, Amerika Syarikat mendapati kismis mengandungi antioksidan yang dapat melawan bakteria penyebab kerosakan gigi dan gusi. Antara antioksidan itu adalah asid oleanolic, oleanolic aldehyde, betulin, asid betulin dan 5-(hydroxymethyl)-2-furfural. Asid oleanolic mampu menghambat pertumbuhan dua spesies bakteria penghuni mulut iaitu streptoccus mutan, penyebab plak dan kerosakan gigi serta porphyromonas gingivalis, penyebab penyakit periodontal.

Sementara itu, pakar pemakanan dari sebuah hospital swasta, Tan Yen Sing, berkata, kajian juga mendapati kismis yang kaya dengan potassium dan rendah dalam sodium membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.
"Malah, khasiat daripada kismis juga boleh mengurangkan risiko strok dan melemahkan perkembangan penyakit-penyakit organ dalam badan. Selain itu juga, kismis mengandungi fiber dan asid tartaric. Ia juga baik untuk kesihatan tulang dalam badan anda". Katanya, kismis mempunyai banyak khasiat pemakanan, serat, antioksidan, vitamin dan kalium yang merupakan nutrien penting untuk badan. "Saya menafikan memakan kismis akan membuatkan anda gemuk. Ia adalah mitos. Ini kerana, manis yang ada pada kismis adalah manis buah-buahan yang asli. Ia juga mudah untuk dibawa dan boleh dipelbagaikan dalam masakan seisi keluarga," ujar Tan Yen Sing.

Sumber:
Serikasih.blogspot.com

Sunday, July 12, 2009

Bahaya Demam Malam

ADAKAH anak anda sering demam? Hakikatnya, demam pada waktu malam atau siang sebenarnya sama saja. Bezanya, ibu bapa beranggapan demam malam lebih serius, apatah lagi jika anak merengek dan ibu bapa tidak dapat tidur yang mencukupi.

Demam sebenarnya reaksi tubuh kepada jangkitan virus atau bakteria. Bagaimanapun, bukan semua demam memerlukan ubat. Jika kanak-kanak itu aktif, masih makan dan minum susu, tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Dalam masa tiga ke lima hari demamnya akan kebah.

Namun, jika demam disertai dengan muntah, cirit birit, sakit kepala atau lesu, tidak mahu makan dan tidak aktif, ini petanda anak anda memerlukan rawatan segera. Demam yang dialami mungkin menjadi petanda kepada masalah kesihatan lebih serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Pakar Runding Kanak-Kanak Pusat Perubatan Pantai Bangsar, Dr Azam Mohd Noor, berkata walaupun demam malam ada kalanya simptom masalah perubatan yang lebih serius seperti limfoma dan leukemia, namun pola demam itu berbeza. Antaranya demam berterusan tanpa mengira siang atau malam.

“Demam juga tidak mengancam nyawa kecuali darjah kepanasannya sungguh tinggi. Pada waktu itulah demam mungkin menjadi petanda masalah lain yang lebih serius. Namun, demam sebagai gejala penyakit misalnya tibi, leukemia dan limfoma memiliki pola tertentu dan demam bukan hanya terjadi pada waktu malam saja tetapi waktu siang juga,” katanya.

Kata Dr Azam, demam umumnya sebagai reaksi tubuh kepada jangkitan. Bahagian dalam otak yang disebut hypothalamus mengawal suhu badan. Hypothalamus meningkatkan suhu badan sebagai cara melawan jangkitan. Suhu badan yang meningkat menyebabkan organisma asing yang masuk ke badan tidak boleh bertahan.

“Sekarang ini ramai ibu bapa yang berpendapat demam bagus kerana ia tanda tubuh melawan penyakit. Namun jika suhu badan terlalu panas, kanak-kanak berasa tidak selesa,”. Dalam keadaan ini, ubat diberi untuk membantu mengurangkan panas demam tetapi masalah demam itu sendiri tidak akan selesai. Biasanya ubat demam diberi apabila panas tubuh mencecah hingga 38.5 darjah ke atas".

Demam dengan suhu tinggi juga membimbangkan kerana bagi sesetengah kanak-kanak ia boleh menyebabkan sawan walaupun demam bukanlah penyakit yang serius. Namun demam yang berulang-ulang disertai dengan muntah, cirit birit perlu diberi perhatian.

“Walaupun demam itu secara fisiologinya reaksi pada jangkitan tetapi jika wujud simptom lain ia mungkin komplikasi masalah kesihatan yang lain. Malah perlu diingat, suhu panas badan yang melampau juga boleh mengundang padah termasuk kemungkinan menyebabkan sawan dan kerosakan otak,” katanya.

Mengapa demam?

1) Jangkitan virus adalah punca paling biasa untuk banyak masalah kesihatan misalnya batuk, selesema, cirit-birit dan sebagainya. Ada kala jangkitan virus boleh menyebabkan masalah kesihatan yang lebih serius.

2) Jangkitan bakteria tidak begitu kerap menjadi punca demam. Bakteria selalunya menjadi punca masalah yang lebih serius misalnya pneumonia, masalah ginjal atau meningitis.

Apa boleh dibuat jika suhu badan terlalu panas?
1. Selain ubat demam biasa yang diperoleh dari klinik, paracetamol yang mudah didapati di pasaran juga boleh membantu menurunkan suhu badan.

2. Mandikan atau lap dengan kain basah. Namun berhati-hati kerana ada kalanya memandikan
anak ketika dia demam tidak begitu sesuai kerana suhu badan turun mendadak. Ia akan menyebabkan masalah hipertorma (kesejukan kerana hilang suhu mendadak). Sebaiknya guna air suam, lap dan keringkan terus. Namun, demam yang berterusan lima hari membimbangkan kerana ia mungkin boleh dikaitkan dengan masalah lain seperti RA (rhemutoid arthritis atau penyakit auto imun.

INFO: Demam yang memerlukan rawatan serius

* Kelenjar leher bengkak
* Mata merah
* Tidak fokus
* Ruam
* Muntah
* Pening kepala
* Menangis/merengek
* Sensitif pada cahaya
* Tidak boleh bergerak disebabkan badan sakit

Oleh: Hafizah Iszahanid
Sumber: Berita Harian

Thursday, July 9, 2009

Sedih, Marah Punca Sakit Jantung

Umum mengetahui, emosi terbentuk di dalam otak manakala perasaan terbit dari dalam hati, atau sebenarnya organ dalaman iaitu jantung. Namun begitu, bagaimana pula dengan emosi negatif?. Apabila anda terlalu sedih atau marah sehingga 'sakit hati', adakah keadaan emosi tersebut benar-benar menyebabkan kesakitan pada jantung anda?

Bagi mengetahui kesan tersebut, dua kajian dijalankan baru-baru ini bagi menyokong teori bahawa apa yang difikirkan otak benar-benar mampu mencederakan jantung anda.

Kajian pertama terbitan Journal of the American College of Cardiology (JACC) mendapati, wanita yang menghidap simptom kemurungan menghadapi risiko lebih tinggi diserang penyakit jantung. Wanita yang disahkan murung secara klinikal pula dua kali ganda berkemungkinan meninggal dunia akibat jantung terhenti.

Para penyelidik menyimpulkan bahawa kemurungan mempunyai impak psikologi secara terus menerus terhadap jantung kerana ia terpaksa berfungsi lebih kuat apabila berdepan tekanan. Kajian turut mendapati, wanita murung lebih cenderung merokok, mengalami tekanan darah yang tinggi dan menghidap diabetes.

Ubat anti murung yang digunakan oleh ramai pesakit wanita juga dikaitkan dengan masalah jantung dan kematian secara tiba-tiba terutama di kalangan remaja. Satu lagi kajian pula mendapati, mood seseorang itu mempengaru
hi tekanan ke atas jantung dan bukan sebaliknya.

Kertas kajian yang disediakan oleh penyelidik University College London pula menemui, lelaki yang mudah meradang dan panas baran besar kemungkinan diserang penyakit koronari berbanding mereka yang tidak bersikap demikian. Kajian pertama menemui golongan yang didorong semangat bekerja, kompetitif dan obses dengan 'deadline', kurang potensi mengalami penyakit jantung.

Dalam kata lain, pekerja yang terlalu bercita-cita tinggi dan 'terlebih' rajin kurang risiko diserang sakit jantung berbanding golongan yang menyimpan dendam, marah dan menentang secara berselindung.

Kajian kedua menemui beberapa teori mengenai emosi marah yang diterjemahkan dalam bentuk serangan jantung fizikal. Ini kerana, golongan panas baran mengalami kesukaran tidur, kurang mengambil ubat, tabiat pemakanan teruk, tidak bersenam, kuat merokok dan lebih gemuk.

Golongan panas baran ini pada mulanya langsung tidak menghadapi risiko, tetapi akhirnya mengalami 19 peratus kemungkinan lebih tinggi diserang penyakit jantung koronari. Kedua-dua kajian tersebut turut menemui stereotaip jantina iaitu, wanita 'sakit' jantung akibat menanggung kesedihan manakala lelaki 'sakit' jantung dengan kemarahan.

Walaupun begitu, dua kajian bersetuju bahawa lelaki dan wanita mengetahui punca penyakit jantung seperti diet salah, kurang bersenam dan sukar tidur. Sehubungan itu, adalah penting lelaki atau wanita tidak membiarkan diri tenggelam dalam emosi kerana boleh merosakkan mental dan organ dalaman yang paling penting iaitu jantung.

Susunan DIYANA ROSE KAMALLUDEEN
Sumber: Serikasih.blogspot.com

Friday, July 3, 2009

Didik Anak Gemar Makan Buah-Buahan

IBU bapa lazim mengeluh apabila anak mereka tidak mahu menjamah makanan yang disediakan. Lebih merisaukan, mereka bukan saja tidak makan, malah kurang minum susu sedangkan pada usia berkenaan mereka sepatutnya mendapat bekalan zat dan protein yang mencukupi bagi menjamin pertumbuhan seimbang. Sebetulnya ada banyak cara untuk membuatkan anak anda tertarik dengan makanan. Anak mungkin tidak berselera jika hanya melihat nasi saja yang perlu mereka hadapi, sebaliknya jika ada ‘aksesori’ tambahan seperti buah atau sayur, tentu mereka juga akan teruja untuk menikmati menu yang disediakan ibu bapa.

Pengarang buku Fruitastic dan Vegemania, Mohana Gill, berkata adalah penti
ng mendidik anak mengambil pemakanan sihat sejak kecil kerana ia boleh memberi kesan terhadap tumbesaran mereka. “Penting untuk ibu bapa menanamkan tabiat makan yang sihat dan seimbang terhadap cahaya mata mereka sejak kecil. Bagaimanapun, ibu bapa perlu bersabar melayan kerenah mereka apabila si kecil tidak mahu makan. Dalam hal ini, kanak-kanak tetap berfikiran seperti kanak-kanak. Mereka tidak mungkin boleh menghabiskan buah yang sepatutnya mereka ambil untuk kebaikan kesihatan kerana buah yang mengandungi banyak zat sering menjadi musuh mereka,” katanya.

Mohana berkata, kebanyakan ibu bapa tidak menyedari mereka sebenarnya menawarkan makanan yang silap untuk anak tanpa mengetahui kebaikan dan khasiat yang terkandung dalam setiap makanan yang disediakan. “Ibu bapa mungkin tidak terfikir bahawa mereka menyediakan hidangan yang tidak sesuai dengan anak. Mereka juga secara tidak langsung membuka peluang anak menikmati makanan tidak berkhasiat. Keadaan berkenaan berlaku dengan menghadiahkan anak menu yang salah, misalnya menjanjikan makanan ringan untuk kebaikan yang mereka lakukan” katanya lagi.

Dalam erti kata lain, ibu bapa tidak boleh terlalu menekankan penyediaan buah-buahan untuk diberikan kepada anak adalah sebagai menu yang sihat dan berkhasiat sebaliknya berfikiran lebih jauh dengan men
ganggap buah adalah makanan yang enak dan menggembirakan untuk dinikmati. Beliau berkata, buah-buahan mengandungi bahan khusus yang membantu meningkatkan daya ketahanan badan selain membekalkan banyak lagi zat serta nutrien yang tidak mungkin terdapat pada makanan ringan.

“Kajian terkini memperlihatkan lima hingga tujuh hidangan buah dan sayuran yang diambil setiap hari boleh menguatkan sistem pertahanan badan daripada penyakit.
Ini kerana buah mengandungi antioksidan yang tinggi dan phythonutrien yang bertindak sebagai pelindung badan. Sudah terbukti buah-buahan mempunyai banyak kebaikan untuk tubuh badan manusia,” katanya.

Sehubungan itu, Mohana menyarankan agar ibu bapa wajar menanamkan di dalam minda mengenai kepentingan pengambilan buah-buahan dalam menu setiap hari selain pada masa sama memikirkan bagaimanakah
caranya mempelbagaikan penggunaan buah di dalam penyediaan makanan untuk kanak-kanak dengan cara yang mudah dan santai.

“Ibu bapa perlu kreatif dalam penyediaan makanan untuk anak dan mereka perlu bijak mengadun resipi bagi menarik perhatian kanak-kanak. Kita tahu kanak-kanak tidak mungkin makan sayur hijau tanpa makanan lain yang menarik perhatian mereka. Jadi campurkan sayur yang berwarna hijau dengan buah-buahan yang berwarna supaya menu berkenaan mampu menarik perhatian anak,” katanya.

Beliau mencadangkan ibu bapa menyediakan salad buah yang mudah disediakan dan jus buah-buahan yang boleh disimpan di dalam peti dingin beku untuk memudahkan ia dihidangkan kepada anak ketika mereka baru pulang daripada sekolah atau bermain.

Oleh: Shaidah Shafie
Sumber: Berita Harian

Sunday, June 14, 2009

Jangkitan Mata Kerana Solekan

SOLEKAN mata diberi lebih tumpuan, terutama kepada golongan muda. Memang ia boleh menyerlahkan kecantikan dan menampilkan kelainan, tetapi beberapa perkara perlu diberi perhatian kerana ia juga boleh menyebabkan jangkitan mata.

Antara bahan solekan mata asas ialah pembayang mata, maskara dan pensil mata. Walaupun kebanyakan alat dandanan diri ini dikategorikan sebagai hipo alerginik (tidak menyebabkan alahan), ia boleh mendatangkan masalah jika dipakai untuk tempoh panjang dan tidak dibersihkan dengan baik.

Semua kosmetik mata mengandungi pengawet yang merencatkan pertumbuhan bakteria. Bagaimanapun, bakteria daripada kulit boleh berpindah ke pembayang mata atau maskara selepas ia digunakan. Bahan pengawet ini kadangkala boleh menyebabkan rasa gatal pada individu sensitif.

Masalah mata boleh berlaku apabila anda:

# Kerap berkongsi alat solekan mata
# Menggunakan alat solekan yang luput tarikh
# Membeli alat solekan berkualiti rendah
# Tidak mematuhi arahan pemakaian

Faktor di atas boleh menyebabkan keradangan pada mata. Meskipun kebanyakan keradangan tidak serius, ia boleh menjejaskan aktiviti harian anda. Malah, anda perlu memberi perhatian serius bagi mengelak parut atau kerosakan kekal pada mata kerana mata adalah organ yang sangat sensitif dan mudah cedera.

Oleh kerana mata sangat sensitif, parut kecil boleh menyebabkan pandangan anda terjejas dan paling membimbangkan, parut itu kekal sepanjang hayat. Kandungan lanolin (dalam bentuk krim), talkum dan polimetil metakrilat dalam pembayang mata serta fenilmekurik asetat (sebagai pengawet maskara) boleh menyebabkan alahan pada individu yang sensitif. Untuk individu yang sensitif, berhati-hati memilih produk solekan supaya tidak mendatangkan masalah seperti sakit mata (konjunktivitis) hanya kerana mahu cantik.

Beberapa langkah boleh diambil untuk mengelak masalah ini iaitu:

# Gunakan alat mekap berkualiti; sebaik-baiknya bukan setiap hari
# Buang alat mekap yang luput tarikh
# Pastikan pensil mata sentiasa diasah dengan baik. Jangan biarkan kayu pensil terkena mata
dan melukakan kulit
# Bila pensil mata menjadi keras, tandanya sudah sampai masa untuk ditukar
# Hentikan solekan mata jika anda mengalami sakit mata
# Cuci tangan sekerap mungkin dan elak menyentuh mata ketika anda sakit mata
# Jangan berkongsi alat mekap dengan orang lain, termasuk berus, tuala tangan atau kaca mata
hitam
# Rehatkan mata sekerap mungkin. Tekap mata dengan tuala atau kapas bersih yang lembap
(sama ada dengan air suam atau sejuk). Tuala lembap yang suam boleh mengurangkan
ketidakselesaan dan menghilangkan keletihan mata. Tuala sejuk pula mengurangkan rasa gatal
dan keradangan
# Bersihkan solekan mata setiap hari sebelum tidur. Guna cecair pembersih mata dengan
berhati-hati, jangan sampai ia termasuk ke dalam mata
# Jangan guna air liur untuk ‘melembutkan’ mekap yang menjadi keras kerana air liur kita
mengandungi banyak bakteria
# Pakai kanta lekap terlebih dulu sebelum menyapu solekan mata

Sumber : Harian Metro

Saturday, June 6, 2009

Khasiat Dalam Sebiji Epal

SEBIJI epal yang dimakan setiap hari cukup untuk membekalkan khasiat dan mengurangkan kolesterol dalam badan. Malah sebiji epal setiap hari cukup untuk menjauhkan diri daripada doktor.

Kajian mengenai khasiat epal dan jusnya disahkan terbukti meningkatkan kesihatan dan fungsi jantung. Jus yang mengandungi phytonutrient boleh melambatkan pengoksidan kolesterol yang tidak baik, iaitu proses pertumbuhan penyakit jantung.

Serat epal pula membantu proses penghadaman dengan mengeluarkan asid organik sewaktu bertindak balas dengan bakteria dalam usus. Kandungan asid butrik juga merupakan sumber makanan sel usus yang dapat membasmi pertumbuhan sel kanser usus.

Selain itu epal juga kaya dengan serat. Lima gram serat dalam sebiji epal bersamaan dengan 20 peratus serat yang diperlukan oleh manusia dalam diet harian. Ia juga berfungsi sebagai pengimbang lemak yang baik, khususnya untuk kanak-kanak yang gemar mengambil makanan segera.

Malah kajian yang dilakukan oleh saintis British juga membuktikan kunyahan epal mampu mengubati masalah sakit gigi dan selaput tatar yang merosakkan gigi. Bukan itu sahaja, di Jepun, penyelidik mendakwa amalan mengupas buah epal dapat mengaktifkan bahagian hadapan otak iaitu bahagian yang mengawal pemikiran logik, imaginasi dan penilaian.

Sumber : Utusan Malaysia
Blog Widget by LinkWithin

Jantung Hatiku .....

Lilypie - Personal pictureLilypie

Lilypie - Personal pictureLilypie Fifth Birthday tickers

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers