Tuesday, May 26, 2009

Bergurau Dengan Anak

CUBA ingat kembali, dalam membesarkan anak adakah anda lebih banyak marah dan memperli atau mempamerkan wajah manis, ceria dan bergurau dengan anak anda? Lazimnya, anak kecil sering bergaduh kerana berebutkan barang, tempat atau ejek mengejek. Sukar untuk menahan sabar dengan kerenah anak yang tidak henti-henti bercakaran sesama sendiri disebabkan perkara remeh dan kemudian menjadikan ibu bapa tempat mengadu dan hakim yang mengadili sesuatu perkara.

Bagaimana mahu mencipta suasana selesa dan harmoni dalam rumah tangga? Gurauan dan bermain dengan anak adalah antara kaedah untuk menceriakan kehidupan berkeluarga. Ibu bapa boleh bergurau dengan anak ketika sedang bermain, di meja makan, berehat atau bersukan. Bergurau dapat melegakan tekanan bukan saja untuk diri sendiri malah dapat menggembirakan hati anak. Hati anak yang ceria menyebabkan mereka menjadi seorang yang bersemangat, berdisiplin, berakhlak baik dan berfikiran positif.

Jika anak sedang bergaduh, menangis sambil mengadu sikap abang atau adiknya, sesekali anda boleh melayan aduannya dalam bentuk gurauan. Anak yang kalah dalam pergaduhan itu kerana mungkin berhenti menangis, sebaliknya ketawa melihat telatah anda yang lucu hingga terlupa perkara yang membuatkan dia geram tadi. Mungkin berlawak adalah perkara spontan atau sifat semula jadi yang tiada pada anda, tetapi anda juga boleh melakukannya dengan terancang apabila melihat anak bersedih dengan niat mahu menghiburkan hatinya. Luangkan masa bermain dengan anak.

Ketika bermain atau bersukan, keseronokan datang apabila anda dan anak saling bergurau. Sewaktu bermain kejar mengejar atau lumba lari dengan anak, buat aksi lucu atau sengaja melambatkan larian supaya anda kalah. Anak tentu bangga dengan pencapaiannya dan seronok. Anak yang gembira dengan layanan ibu bapanya akan lebih berasa disayangi.

Bayangkan, apa akan jadi jika anda asyik serius sepanjang masa hinggakan anak takut hendak berbual atau meluahkan perasaannya kepada anda.
Sebagai ibu bapa, anak adalah tempat untuk anda mencurahkan kasih sayang dan dahan untuk anak berpaut. Apapun, elakkan gurauan yang melampaui batas seperti melanggar batas adab dan agama. Gurauan keterlaluan boleh menyebabkan hilang rasa hormat anak kepada ibu bapa, menyebabkan perselisihan faham atau kecil hati.

Oleh NORAINON OTHMAN

Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

Jantung Hatiku .....

Lilypie - Personal pictureLilypie

Lilypie - Personal pictureLilypie Fifth Birthday tickers

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers