Sunday, August 2, 2009

Derita Alami Fibromyalgia

Fibromyalgia juga boleh menyebabkan seseorang menghadapi tekanan.

PERNAHKAH anda berasa serba tidak kena, lesu dan sakit hampir di seluruh badan? Anehnya, biarpun sudah memakan ubat, ternyata rasa sakit itu tidak juga hilang. Penyakit yang tidak diketahui puncanya ini turut mengakibatkan kelesuan, pening selain sakit otot

Jika ya, anda berkemungkinan mengalami masalah yang sememangnya amat jarang didengar iaitu 'fibromyalgia.' Masalah kesihatan yang turut dikenali fibrositis ini, merujuk kepada keadaan kronik yang menyebabkan rasa sakit, tegang dan bengkak pada bahagian otot, tendon dan sendi.
Bukan setakat sakit sendiri, ada kalanya fibromyalgia turut menyebabkan penghidapnya sukar dan kurang tidur, letih, risau, tertekan selain masalah gangguan sistem pencernaan.

Anehnya, di sebalik kesan yang disebabkan fibromyalgia, punca penyakit ini masih misteri kerana tidak diketahui setakat ini. Pakar Ortopedik dan Trauma, Hospital Pakar Ampang Puteri, Selangor, Datuk Dr Syed Abdul Latiff Al Sagoff, berkata fibromyalgia ialah masalah biasa yang menjejaskan otot.

"Ia bagaimanapun boleh disifatkan sebagai masalah kronik dan selalunya menjadikan seseorang lesu. Ia menyebabkan kesakitan 'unik' atau tertentu yang kerap dialami," katanya. Beliau berkata, fibromyalgia boleh menjejaskan keupayaan bekerja dan aktiviti harian, selain berpotensi menyebabkan tekanan kepada penghidapnya.

"Ia memang masalah kesihatan yang mengganggu tetapi kerap kali tidak difahami kerana ia boleh disifatkan sebagai penyakit yang 'tersembunyi' atau tidak kelihatan. Seseorang itu tidak kelihatan sakit dan susah untuk orang lain memahami keadaannya," katanya.

Katanya, sakit yang dikaitkan dengan fibromyalgia selalunya bermula dari otot. Ia boleh dianggap sebagai melarat jika rasa sakit itu berlaku pada dua-dua bahagian tubuh sama ada di bawah atau atas paras pinggang. "Fibromyalgia ialah masalah yang biasa berlaku di otot. Tisu yang sakit biasanya tidak disertai dengan masalah radang, justeru ia tidak merosakkan tubuh atau organ dalaman.

"Ia berbeza dengan masalah seperti Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus, serta rheumatoid arthritis. Bagi kebanyakan penyakit itu, radang pada tisu adalah penyebab utama rasa sakit, kekejangan sendi, tendon dan otot yang boleh menjejaskan otot dan organ dalaman.

Malah, kata Dr Syed Abdul Latiff, simptom fibromyalgia juga berbeza bagi setiap penghidapnya. Secara umum, masalah itu menyebabkan rasa sakit tetapi tidak disebabkan masalah radang pada tisu. Kesakitannya merebak, membabitkan kedua-dua bahagian badan yang menjejaskan leher, punggung, bahu, lengan, bahagian atas badan dan dada.

Kesakitan pula selalunya bertumpu pada kawasan lembut yang membolehkan rasa sakit itu ketara apabila disentuh. Ini lazimnya berlaku pada bahagian siku, bahu, lutut, pinggul, belakang kepala serta bahagian tepi tulang dada.

Di Amerika Syarikat misalnya, kira-kira dua peratus penduduknya mengalami masalah fibromyalgia. Perempuan lebih mudah mengalaminya berbanding lelaki dengan risiko meningkat seiring usia. Kerap kali, ia bermula dengan trauma fizikal dan emosi.

"Walaupun puncanya tidak diketahui, bagi kebanyakan kes, ia lebih kerap berlaku pada wanita berusia 35 hingga 55 tahun. Ada kalanya ia berlaku sendiri dan ada kalanya ia berkaitan dengan penyakit lain," katanya.

Ada juga pesakit berasa keletihan yang keterlaluan dan masalah itu dialami 90 peratus pesakitnya. Keletihan itu pula dikaitkan dengan pola tidur yang luar biasa. Selalunya pesakit tidak mendapat kualiti tidur yang cukup. Mereka kerap terjaga daripada tidur tanpa rasa rehat yang mencukupi. Tidak kurang juga yang terjaga daripada tidur kerana sakit otot.

Selain itu, ada juga pesakit fibromyalgia ini mengalami gangguan emosi yang boleh dilihat menerusi masalah seperti kurang tumpuan, mudah lupa, 'mood' yang berubah-ubah, tertekan dan risau. Oleh kerana usaha mengenal pasti atau diagnosis masalah ini agak sukar, selalunya pengesahan dilakukan menerusi ujian makmal.


Satu lagi simptom yang biasa dialami pesakit ialah masalah migrain dan rasa kebas di beberapa bahagian badan. Malah ada yang mengalami gangguan pada sistem pencernaan. Disebabkan simptom yang pelbagai itulah, setiap pesakit fibromyalgia dianggap unik.

Dr Syed Abdul Latiff berkata, disebabkan punca fibromyalgia tidak diketahui, tiada satu rawatan khusus untuk membantu melegakan simptom berkenaan. Oleh itu, perbincangan dengan doktor membantu memastikan rawatan terbaik.

Secara umum, pesakit biasanya mengambil pil atau ubat antiradang bukan steroid seperti aspirin selain ubat melegakan otot. Selain itu, senaman terapi seperti pilates juga membantu. Di pasaran, syarikat farmaseutikal Pfizer baru-baru ini melancarkan jenama Lyrica yang dihasilkan bagi melegakan fibromyalgia.


Info Fibromyalgia

# Masalah kesihatan kronik menyebabkan rasa sakit, tegang dan bengkak di bahagian otot, tendon dan sendi.

# Puncanya tidak diketahui dan ada kalanya berkaitan dengan penyakit lain.

# Simptomnya berbeza bagi setiap penghidapnya. Secara umum, masalah itu boleh dilihat dengan rasa sakit tetapi tidak disebabkan masalah radang pada tisu.

# Kesakitannya melarat dengan membabitkan kedua-dua bahagian badan yang menjejaskan leher, punggung, bahu, lengan, bahagian atas badan dan dada.

# Perempuan lebih mudah mengalaminya berbanding lelaki dengan risiko meningkat seiring usia. Kerap kalinya, ia bermula dengan trauma fizikal dan emosi. Kebanyakannya membabitkan wanita berusia 35 hingga 55 tahun.

Oleh: Hafizah Iszahanid
Sumber: Berita Harian

1 comment:

Blog Widget by LinkWithin

Jantung Hatiku .....

Lilypie - Personal pictureLilypie

Lilypie - Personal pictureLilypie Fifth Birthday tickers

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers