Thursday, May 14, 2009

Solat

Solat adalah satu-satunya perintah yang Allah turunkan direct kepada Baginda saw tanpa perantaraan Jibrail a.s. Dan solat jugalah yang pertama sekali akan ditanya ketika di padang masyar kelak. Jika bagus solatnya maka amalan lain akan turut di hisab, tetapi jika buruk solatnya maka dia akan terus dicampak ke neraka Allah swt. Na’uzubillah.

Apa tujuan kita bersolat ?. Pada saya apabila kita bersolat, kita mengakui bahawa kita ini adalah hamba yang tiada daya kekuatan, hamba yang lemah yang semata-mata mengharapkan bantuan kepada tuannya, iaitu Allah swt. Dengan solat jugalah kita dapat menarik nusrah (bantuan) Allah swt. Seperti firman Allah dalam al-quran yang lebih kurang bunyinya, “Carilah pertolongan dengan sabar dan solat”. Dalam satu ayat yang lain pula, Allah juga berfirman yang lebih kurang bunyinya, “Solat itu dapat mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”.

Tetapi masalahnya adakah kualiti solat kita hari ini dapat menarik bantuan dari Allah swt ?. Dapatkah solat yang kita kerjakan selama ini mencegah dari perbuatan maksiat dan mungkar ?. Tepuk dada Tanya iman.

Rasulullah saw seorang yang maksum dan telah dijanjikan Allah syurga itupun bersolat sehingga kaki baginda bengkak-bengkak. Apatah lagi kita yang belum tentu ke mana arah tuju kita di sana nanti. Oleh kerana itulah maka kita harus berusaha dan berazam untuk menjadikan solat kita seumpama solat para nabi dan ambia’ a.s. Insya-Allah.

Sabda nabi yang lebih kurang bunyinya, “Penyejuk mataku adalah solat”. Sabda nabi lagi yang lebih kurang bunyinya, “Barangsiapa yang menjaga solatnya, Allah swt akan beri orang itu lima ganjaran, pertama, Allah akan berkati rezekinya, kedua dia akan terlepas dari siksa kubur, ketiga dia akan diberikan buku catatan amalannya dari tangan kanan, keempat dia akan dapat melintasi titian sirat sepantas kilat dan yang terakhir dia akan masuk syurga Allah swt tanpa hisab”.

Menjaga solat di sini bermaksud teliti dalam perbuatan kita dari istinja’, ketika berwudhu’ dan ketika mendirikan solah itu sendiri. Pastikan juga pakaian dan tempat solat bersih dari najis. Itu persiapan dari segi luaran. Dari segi rohani pula hendaklah cuba hadirkan diri kita dalam solat. Berikan sepenuh perhatian terhadap bacaan kita, sentiasa tundukkan pandangan. Sedarlah bahawa kita sedang menyembah Raja kepada segala Raja. Zat yang memegang kekuasaan di langit dan di bumi.

Bagi kaum lelaki pula, hendaklah cuba seboleh mungkin untuk solat secara berjemaah. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, solat berjemaah ganjarannya lebih banyak berbanding solat bersendirian. Rasulullah saw sendiri tidak pernah solat di rumah kecuali solat sunat. Sabda Nabi yang lebih kurang bunyinya, “Barangsiapa yang solat berjemaah tanpa ketinggalan takbir pertama selama 40 hari maka Allah akan memberi dua kelepasan kepadanya, iaitu kelepasan dari api neraka dan dari sifat nifak”.

Sebenarnya apa yang saya coretkan di sini bukanlah 100% lengkap. Masih banyak lagi kekurangan. Apa yang saudari baca adalah sekadar pemahaman dan pendengaran saya hasil dari majlis ilmu yang saya hadiri. Ia lebih kepada peringatan untuk diri saya sendiri, tetapi jika ia dapat memberi serba sedikit manfaat kepada pembaca, Al-hamdulillah.

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin

Jantung Hatiku .....

Lilypie - Personal pictureLilypie

Lilypie - Personal pictureLilypie Fifth Birthday tickers

Lilypie - Personal pictureLilypie First Birthday tickers