
Apabila anda hamil, perkara pertama yang akan diberitahu oleh doktor anda adalah banyakkan meminum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu oleh kerana alahan (morning sickness), anda boleh minum air kosong yang dicampur dengan jus, sirap dan sebagainya. Namun, yang seeloknya minum air kosong yang ditapis. Persoalannya di sini mengapa air amat dititikberatkan terutama sekali bagi ibu mengandung?
Air adalah satu keperluan yang penting untuk tubuh badan. Tidak kira anda hamil atau tidak. Kita boleh hidup berminggu-minggu tanpa makanan tetapi hanya beberapa hari tanpa air. Tubuh badan kita secara semula jadi memerlukan air untuk hidup kerana sekiranya tanpa air, ia akan mengganggu fungsi sistem pengendalian dalam badan kita sekali gus membuatkan kita menjadi dehidrasi terutama untuk wanita mengandung. Ini kerana ketika mengandung, ibu hamil kerap membuang air kecil disebabkan oleh tekanan yang diberikan kepada pundi kencing oleh bayi yang dikandung mereka.
Disebabkan itulah wanita yang mengandung perlu kerap minum air kosong sekurang-kurangnya dua setengah liter sehari supaya tubuh badan mereka tidak akan dehidrasi dan cukup untuk menampung kehilangan air dari badan yang berlaku dalam pelbagai cara selain daripada kerap membuang air seperti berpeluh. Wanita mengandung kerap berasa panas dan berpeluh, disebabkan itu jugalah mereka perlu menggantikan kandungan air yang keluar dari tubuh badan mereka dengan meminum lebih banyak air kosong.

Tahukah anda bagi mereka yang mempunyai masalah ‘morning sickness’, dengan hanya meminum ‘air hidup’ atau ’air bersih’ yang mencukupi, masalah ini dapat dihindari atau sekiranya berlaku ia lebih ringan dan lebih cepat pulih. Sebenarnya petanda seperti loya, muntah, pening dan lain-lain ini disebabkan oleh dehidrasi ditambah pula dengan perubahan hormon sewaktu hamil.
Mengidam makanan yang masam, masin atau yang pelik adalah petanda yang datang daripada bayi di dalam kandungan yang mungkin menagih kepada beberapa jenis mineral, garam atau mungkin juga dehidrasi. Jadi kalau amalan minum lima botol (500 ml) sehari diselangi dengan meletak sedikit garam di atas lidah untuk setiap botol, ia akan membantu masalah ini. Ia seperti magik kerana tidak lagi menghadapi masalah ‘morning sickness’ dan mengidam kalau mereka mengikut saranan ini dengan yakin dan istiqamah.
Selain itu, wanita yang hamil kerap mengalami penyakit sembelit dan kerana itu air amat penting buat mereka. Air adalah pelarut asas bagi segala hasil keluaran penghadaman dan ia membantu untuk melawaskan bahan buangan di dalam tubuh badan kita.

Seperti yang disebut diatas, wanita mengandung perlu mengambil kuantiti air yang banyak bagi mengelakkan dehidrasi kerana ia boleh membawa kepada pelbagai penyakit lain. Contoh seperti lelah, sakit kepala, mulut kering, lemah otot dan sebagainya. Disebabkan itulah wanita mengandung wajib mengambil air kosong sekurang-kurangnya dua liter sehari. Air kosong yang diambil pula, seeloknya datang daripada air yang ditapis atau air yang tidak tercemar bagi mengelakkan dijangkiti sebarang penyakit yang tidak diingini.
Oleh: Dr Noordin Darus
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment